Thursday, October 1, 2009

MENGINGATI MATI BANYAK KELEBIHAN DAN HIKMAH







MARILAH kita bersama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dalam melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita tergolong di kalangan orang yang mendapat rahmat Allah Subhanahu Wata'ala di dunia mahupun di akhirat.

Sesungguhnya kehidupan di dunia ini hanyalah bersifat sementara yang tidak akan kekal selamanya. Setiap yang hidup pasti akan mati, begitu juga kehidupan kita ini pasti akan berakhir dengan kematian dan kita tidak akan dapat lari daripadanya. Sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala di dalam Surah Al-Jumu'ah ayat 8 tafsirnya:

"Katakanlah wahai Muhammad sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan nyata, lalu Ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan."

Apabila nyawa seseorang telah terpisah daripada jasadnya, maka tinggallah segala apa yang dimilikinya, tiada anak isteri yang menemaninya lagi, tiada ibu bapa dan ahli keluarga yang mendampinginya lagi dan tiada harta benda untuk dinikmatinya lagi. Jasad yang terbujur kaku akan diurus dan dihantar ke tanah perkuburan untuk dikebumikan. Pada saat itu, terpisahlah ia ke alam lain iaitu alam kubur atau alam barzakh. Tiada apa yang dibawanya sebagai bekal kecuali ibadat dan amal jariah semasa hayatnya di dunia serta doa dari anak-anak yang soleh.

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya:

"Dari Abu Hurairah Radiallahuanhu sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah bersabda : Apabila telah mati seseorang itu akan terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat dengannya dan anak yang soleh yang mendoakannya." (Riwayat Al-Imam Muslim).

Mengingati mati itu mempunyai banyak kelebihan dan hikmah, antaranya ialah menjadi peringatan kepada kita supaya tidak terus leka dengan keasyikkan hidup di dunia ini. Dengan mengingati mati juga mendidik jiwa kita untuk menjadi orang yang sentiasa merendah diri, tidak lupa diri dan sombong, bahkan juga menjadikan kita supaya bijak merancang kehidupan yang sementara ini dengan baik sebelum ajal tiba, iaitu berusaha meningkatkan keimanan, ketaqwaan dan ketaatan kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan memperbanyakkan amal ibadat dan berbuat kebajikan serta akan sentiasa memelihara dirinya dari berbuat dosa dan maksiat.

Namun bagaimana pula halnya kepada orang yang tidak ingat kepada mati? Selalunya orang yang tidak ingat kepada mati akan mudah lalai dan leka dari mempersiapkan diri mereka untuk menghadap Allah Subhanahu Wata'ala sehingga ada di antara mereka tidak bersungguh-sungguh melaksanakan perintah Allah Subhanahu Wata'ala malahan ada pula yang berani melanggar perintah Allah Subhanahu Wata'ala dengan sengaja. Mereka menyangka bahawa masa itu masih panjang padahal sebenarnya amat singkat. Mereka menyangka masih sempat untuk bertaubat dan berbuat amal ibadat kemudian hari nanti, padahal belum tentu umurnya panjang. Sedarlah betapa orang yang tidak ingat kepada mati sentiasa berada di dalam kerugian yang amat sangat. Bertaubat dan beribadatlah dengan segera, jangan ditangguh-tangguh kerana kita tidak tahu bila ajal akan tiba, mungkin esok atau mungkin lusa, hanya Allah Subhanahu Wata'ala sahajalah yang Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa.

Tidak dapat dinafikan ajal itu kadang-kadang datang secara tiba-tiba, tanpa ada tanda-tanda bahawa maut akan tiba. Kadangkala ia menimpa orang yang sihat dan cergas dan ada juga dari kalangan orang yang masih muda usianya. Walau bagaimanapun terdapat beberapa tanda-tanda untuk mengingatkan manusia dari lalai terhadap kehidupan di dunia ini dan juga sebagai amaran atau pemberitahuan bahawa ajal sudah dekat.

Dalam Kitab At-Tazkirah Al-Imam Al-Qurtubi menyebutkan bahawa terdapat sebuah hadis yang menceritakan bahawa sebahagian nabi-nabi pernah bertanya kepada malaikatulmaut : Mengapa engkau tidak mengirim utusan supaya manusia takut kepadamu dan supaya mereka dapat bersiap-siap? Malaikatulmaut berkata : Ya, demi Allah! Aku mengirim beberapa tanda seperti penyakit, uban, umur tua, berkurangnya pendengaran dan penglihatan. Oleh itu barangsiapa yang mendapati perkara-perkara itu dan dia tidak berusaha mengingati mati, serta tidak pula bertaubat, maka ketika mencabut nyawanya, aku akan berkata kepadanya : Bukankah aku telah mengutus utusan demi utusan, dan amaran demi amaran (berupa seperti penyakit, uban, umur tua, kurang pendengaran dan penglihatan dan sebagainya) kepada kamu? Dan adapun aku ini (malaikatulmaut) adalah utusan yang tidak ada utusan lain lagi selepas aku. Akulah juga pemberi amaran yang tidak ada pemberi amaran lain lagi selepas aku.

Setiap hari yang padanya terbit dan terbenam matahari, malaikatulmaut berteriak: Wahai orang-orang yang berusia 40 tahun, inilah waktunya menyiapkan bekal selagi ingatan kamu masih terang dan tenaga kamu masih kuat. Wahai orang-orang yang sudah berumur 50 tahun, sudah dekat masa mengutip hasil dan menyabit. Wahai orang-orang yang sudah berumur 60 tahun, kamu lupa akan seksa dan lalai daripada memberikan jawapan, nanti tidak ada yang akan menolong kamu.

Sesungguhnya agama Islam menggalakkan umatnya sentiasa mengingati mati supaya kesempatan hidup ini dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya kerana apabila ajal tiba, kita tidak akan berpeluang lagi untuk berbuat apa-apa kecuali penyesalan yang sudah tidak berguna lagi.

Memang tidak dinafikan bahawa manusia itu mudah lalai dan lupa jika tidak selalu diperingatkan. Oleh itu sama-samalah kita saling mengingati bagi memanfaatkan peluang yang ada untuk beramal ibadat dan berbuat kebajikan. Akhirnya sama-samalah kita berdoa semoga kita mendapat husnulkhatimah iaitu mati dalam keadaan yang baik dan semoga kehidupan kita di alam barzakh dan di akhirat nanti akan mendapat keampunan dan keredaan serta rahmat daripada Allah Subhanahu Wata'ala jua. Amin Ya Rabbal'alamin.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Ali'Imran ayat 14 tafsirnya:

"Dihiaskan dan dijadikan indah kepada manusia kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak pinak, harta benda yang banyak berpikul-pikul dari emas dan perak, kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan ingatlah pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya iaitu syurga."

No comments:

Tazkirah

Blog.cekapkomputer.com

My Blog List

Sektor Pendidikan Islam, Jabatan pelajaran Perak

upikintautara - Home

Followers