Wednesday, December 2, 2009

INFO tambahan PERINGATAN buat ANAK-ANAK




kesinambungan kepada topik "MENTAATI IBUBAPA",diharapkan kisah-kisah dalam buku ini dapat mempertingkatkan KETAATAN anak-anak terhadap IBU masing-masing...INSYA-ALLAH.Semoga bagi yang ALPA bahawa SYURGA DI BAWAH TELAPAK KAKI IBU,akan sedar dan insaf betapa tingginya darjat seorang IBU usepertimana yang Allah sebutkan dalam al-Quran.


mentaati IBUBAPA.....




RAMAI anak yang tidak mengaku apabila dituduh menderhaka kepada ibu bapa. Namun, siapa yang dapat menafikan kebenaran ayat Allah dan hadis Rasulullah SAW yang menyimpulkan bahawa termasuk dosa besar yang kedua selepas syirik ialah apabila seseorang melupakan tanggungjawab menjaga kedua orang tua.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya, apabila salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu." - (Surah Al-Isra' ayat 23)

Rasulullah SAW lebih jelas menegaskan mengenai dosa besar ini di dalam sabdanya yang bermaksud: "Mahukah kamu aku khabarkan tentang dosa besar?". Kami (sahabat) menjawab: "Ya, tentu wahai Rasulullah". Baginda bersabda: "Ada tiga, iaitu menyekutukan Allah, derhaka kepada kedua ibu bapa dan ucapan dusta dan kesaksian dusta", Baginda mengulanginya berkali-kali sehingga kami berkata "mudah-mudahan baginda diam." - (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari)

Semua anak mengaku mereka sudah memenuhi hak kedua ibu bapanya walaupun hati tak merindu, jauh sekali khuatir, sedih dan pilu mengenang keuzuran kedua orang, pemegang kunci syurga mereka di akhirat nanti. Bahkan anak dunia itu seolah-olah tidak mahukan akhirat. Lantas mereka lalai dan lupa akibat mengejar cita-cita dunia sehingga tak tersisa sedikit pun ruang untuk ayah dan ibu di dalam hati. Hati yang sentiasa sibuk, memberi kesan pada wajah mereka yang kian suram apabila berdepan dengan ayah dan ibu.

Mereka lebih rela menjadi tanda-tanda dekatnya kiamat dengan berlaku derhaka daripada harus menanggung beban hidup bersama orang tua. Pelbagai alasan dicipta untuk menghalalkan keuzuran mereka daripada menjaga ibu bapa, tetapi di sudut hati nurani anak-anak manusia siapakah kiranya yang boleh melepaskan diri daripada kenangan kasih sayang ibu bapa ketika kecilnya. Mereka juga berselindung di sebalik amal salih yang lain, sebahagiannya ahli tahajjud, setia membaca al-Quran, ahli masjid, istiqamah mengerjakan haji dan umrah, ahli sedekah dan puasa. Tetapi, mereka membuat hati ibu bapa menangis, jiwa mereka terdera dan impian hari tua yang indah bagi mereka hancur berkecai.

Padahal keutamaan berkhidmat kepada orang tua melebihi pahala jihad fisabilillah seperti hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah bin Mas'ud beliau berkata: "Saya bertanya kepada Nabi SAW amalan apakah yang paling disukai oleh Allah SWT?". Baginda bersabda: "Solat pada waktunya", saya bertanya lagi: "Kemudian apa lagi?". Baginda bersabda: "Berbuat baik kepada kedua orang tua". Saya bertanya: "Kemudian apa lagi?". Baginda bersabda: "Berjihad di jalan Allah." - (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim) Ironinya mereka mengejar pahala ibadat sunat tetapi yang wajib ditinggalkan.

Kewajipan berkhidmat kepada ibu bapa mereka dianggap bukan ibadat melainkan hanya adat kehidupan manusia. Maka jika mereka lalai mengingati kedua-duanya, tidak ada kekesalan di dalam hati, tidak rasa berdosa dan bermaksiat kepada Allah SWT. Sungguh penyelewengan yang tidak disedari, melainkan apabila keduanya kembali ke rahmatullah. Lalu anak-anak itu secara tabienya menjadi ibu dan bapa generasi baru. Dia merasai sakit menjaga dan mendidik anak seperti ibu bapa dulu. Akhirnya dia sedar betapa seksa diderhaka dan dibuang bagaikan al-Quran usang.

Bukan hanya ibu bapa yang terguris hati, Rasulullah SAW pun pernah menitiskan air mata mendengar pengaduan seorang lelaki tua mengenai anaknya yang menderhaka. "Wahai Rasulullah, anakku telah aku didik tetapi setelah dewasa dia menzalimiku. Lelaki itu kemudian menyatakan kesedihannya dengan untaian syair yang memilukan: "Ketika engkau masih kecil, tangan ini yang memberimu makan. "Engkau minum juga aku yang tuangkan. Apabila dirimu sakit, aku berjaga semalaman. "Kerana sakitmu itu aku mengeluh kerisauan. Tetapi, di saat engkau dewasa dan mencapai tujuan.. "Kulihat pada dirimu apa yang tak ku harapkan. Kau balas aku dengan kekasaran. "Seakan-akan nikmat dan anugerah engkau yang berikan." Mendengar bait-bait syair lelaki tua itu, berlinanganlah air mata Rasulullah SAW seraya bersabda yang bermaksud: "Kamu dan hartamu milik ayahmu." - (Ditakhrij oleh Ibnu Majah 2357, Imam Ahmad dalam al-Musnad 6883, Ibnu Hibban dalam sahihnya 409, 4182. Al-Baihaqi dalam al-Sunan 16054)

Pelbagai takrifan diberi ulama mengenai tanda-tanda derhaka kepada orang tua seperti memutuskan hubungan dengan tidak mahu menziarahi mereka, tidak memberi nafkah, tidak memenuhi hak-hak mereka dan tidak mentaati mereka pada hal yang bukan bermaksiat kepada Allah SWT. Sesungguhnya kasih sayang yang paling ikhlas tanpa syarat hanyalah kasih sayang ibu bapa. Anak yang salih dituntut untuk membalas jasa mereka dengan adab dan akhlak yang baik. Kadang-kadang seulas senyuman dan kata-kata yang lembut lebih berharga daripada wang ringgit serta barangan berharga. Namun tidak dinafi juga kepentingan hadiah sebagai pengikat jiwa.

Sikap mementingkan diri sehingga membiarkan ibu bapa hidup susah di sebalik kemewahan seorang anak sememangnya menunjukkan sifat tidak mengenang budi. Jika boleh dihitung berapa juta ringgit yang mesti dibayar, sudah tentu jasa ibu bapa tak akan terbayar dengan sebarang jenis mata wang pun di dunia ini.
....Islam menganjurkan hormat, taat selagi suruhan mereka tidak melanggari hukum syariat...taatilah mereka selagi mereka masih ada....


Sumber:http://generasiharapanislam.blogspot.com/



Monday, November 30, 2009

"PERMATA YANG HILANG"






ASSALAMUALAIKUM WBT..

Rasanyer masih belum terlambat untuk mengucapkan SALAM EIDUL ADHA pada semua pengunjung BLOG SKTI...MAAF DZAHIR + BATHIN..

Insya-Allah esok(1 DISEMBER 2009) dengan rasminya SKTI akan KEHILANGAN sebutir PERMATA iaitu Ustaz Zannuri bin Othman,guru j-QAFF ambilan 2005 (ARABIC OPTIONIST)Memang amat terasa sekali akan pemergian Ustaz Zannuri dari SKTI.

Genap 5 tahun beliau bersama kami warga SKTI dan banyak sekali UJIANs dan CABARANs yang beliau harungi selaku ketua j-QAFFERs selama bertugas di sini..ALHAMDULILLAH segala USAHA beliau dan sahabat-sahabat j-QAFF lain telah dapat mempertingkatkan prestasi murid-murid dalam sahsiah dan akademik khasnya Pendidikan Islam..

Walaupun berat rasanya bagi kami,warga SKTI untuk melepaskan beliau pergi,namun kami reda dengan pemergiannya untuk menunaikan tanggungjawab terhadap keluarga tercinta yang telah sekian lama berjauhan darinya..Doa kami mengiringi pemergian Ustaz Zannuri..semoga career ustaz akan bertambah BERKETERAMPILAN lagi tatkala melangkah kaki ke sekolah baru ustaz, SK Kuala Perlis dan tinggal bersama keluarga tercinta.Insya-Allah.

Jutaan kemaafan kami pohon di atas segala kesalahan yang telah kami lakukan(sekiranya ada)ketika ustaz di sini selama hampir 5 tahun..dan gurau senda yang mungkin mencalar hati yang tak disengajakan..oleh kami..Dan harapan kami juga agar ustaz tak akan lupakan kami warga SKTI walau di mana jua ustaz berada..Syukran ya ustaz.




Tuesday, November 24, 2009

di sebalik ungkapan "TAK ADA APA-APA"

Dari catatan seorang teman...

Beberapa bulan yang lalu hati saya tiba-tiba rasa berdebar, cemas, bimbang dan runsing. Perasaan itu datang bukan sekali dua malah terlalu kerap.Ketika memandu pun saya turut diserang rasa yang demikian. Saya cuba dapatkan nasihat doktor. Doktor kata takde apa-apa. Hairan juga..! Sewaktu balik ke kampung, saya bertemu dengan guru mengaji Quran. Saya ceritakan perkara yang saya alami.

"Mungkin ada buat silap dengan mak kot. Cuba Check,"katanya. Saya tersandar seketika. Insiden apakah yang boleh membuatkan saya diuji sebegini rupa? Puas saya memikirkannya. Seingat saya, walau ke mana saya hendak pergi dan apa yang saya nak buat, tak pernah saya lupa
memberitahu mak. Meminta maaf memang saya jadikan kebiasaan dalam diri. Saya balik ke rumah mak, lalu saya ceritakan peristiwa yang saya alami itu. Saya pohon padanya, "Mama, Sabri nak tanya dari hati ke hati,adakah Sabri pernah buat dosa dengan mama yang mama tak ampunkan?" "Tak ada
apa-apa. Mama restu dengan apa yang Sabri buat sekarang ini."Emak menjawab. Saya masih tak puas hati. Esoknya saya tanya lagi. Mama masih menjawab,"Tak ada apa-apa". Saya masih tidak puas hati lagi. Malam itu saya munajat dengan Tuhan minta Allah tunjukkan jalan kebenaran.

Hari ketiganya dalam keadaan berteleku, saya mengadap mama sekali lagi. Mama ketika itu sedang berehat di sofa. Saya pandang wajah mama, saya genggam erat tangannya erat-erat, "Mama, Sabri pohon sekali lagi, tolonglah mama luahkan apa yang terbuku di hati mama. Sabri tahu sabri ada buat salah, tapi mama tak nak bagitau." Airmata sudah membasahi pipi. "Tak ada apa-apa" Tingkah mama semula. Dalam keluhan yang dalam, ibu tua seakan mahu bersuara tapi terdiam kembali. Akhirnya dia bersuara. "Sabri ada satu kisah yang mama susah
nak lupakan dan sesekali ingatan itu datang akan membuatkan hati mama terluka.Kadang- kadang ketika membasuh pinggan, mama boleh menangis tersedu-sedu mengenangkan peristiwa itu. Lukanya amat dalam, masih berbekas hingga sekarang."
Saya terkedu. Mama menyambung, "Sabri tentu inagt arwah ayah meninggal ketika adik masih kecil. Tanggungan kita ketika itu sangat berat. Duit pencen ayah memang sedikit dan tak cukup nak tampung hidup kita, Sabri ingat tak?" Mama mula menangis. Saya tunduk.

"Selepas SPM Sabri ditawarkan menjadi guru sandaran, wang hasil titik peluh Sabri tu mama gunakan untuk perbelanjaan adik-adik. Satu hari Sabri bagitau mama Sabri nak melanjutkan pelajaran. Mama merayu supaya hajat itu ditangguhkan dulu sebab kita kesempitan wang dan minta Sabri terus bekerja. Berkali-kali Sabri minta dan merayu pada mama nak sambung belajar juga.Akhirnya mama terpaksa melepaskan Sabri
belajar dalam hati yang penuh terpaksa."

Saya benar-benar terkejut. Mama menyambung lagi, " Cuba bayangkan ketika itu kalau mama tak izinkan Sabri pergi, mama rasa Sabri tetap berkeras pergi juga. Dan perginya Sabri ketika itu adalah sebagai anak derhaka!" Saya meraung sepuas-puasnya, terjelepuk lembik di pangkuan mama. Mulai hari ini mama ampunkan semua dosa Sabri. Adik-adik pun dah berjaya. Segala yang terbuku di hati dah habis mama
luahkan. Mama harap mama dapat mengadap Tuhan dengan hati yang
tenang." Ungkapan terakhir mama terasa bagaikan air sungai jernih yang mengalir sejuk ke seluruh urat saraf saya seakan membasuh dosa yang lalu. Badan saya terasa ringan yang amat sangat. Syukur kepada Allah hati saya kembali tenang.
Terasa kerja-kerja yang dibuat semakin dibantu Allah.

Sejak peristiwa itu saya selalu berpesan kepada anak-anak, ahli keluarga dan kawan-kawan agar bersihkan hubungan hati kita dengan ibu kerana ia sebagai jambatan menuju ke syurga. Saya yang terlibat dalam program motivasi turut menceritakan pengalaman saya ini kepada peserta kursus. Bukan niat di hati untuk berbangga tapi apa yang saya harapkan semua orang dapat berbuat baik dengan ibu, demi kebaikan didunia dan di akhirat.

Suatu hari selepas selesai menyampaikan ceramah di sebuah kem motivasi, saya dicuit oleh seorang pegawai lelaki yang sudah melewati usia 40-an. "Ën Sabri, bulan depan telefon saya." Saya kehairanan. Dari sumber yang diketahui, penganjur program memaklumkan lelaki tersebut mengambil cuti seminggu untuk pulang ke kampung.Sebulan kemudian saya menghubunginya dengan telefon."Ën Sabri terima kasih banyak-banyak kerana mengingatkan saya tempoh hari.
Kalau tidak saya tak tahulah nasib saya." Suara lelaki itu
seakan sebak. Saya bagaikan berteka-teki dengannya. Menurut
ceritanya, selepas program tersebut dia terus pulang ke kampong menziarahi ibunya yang sudah terlalu uzur dan sudah sekian lama tidak juga dijengah bertanyakan khabar berita. Sampai dikampung ibu yang uzur itu dipeluk dan dicium. Ibu tua itu kehairanan kerana selama ini si anak tidak pernah berbuat demikian. Dalam tangisan yang penuh syahdu si anak memhon ampun dan maaf di atas segala silapnya selama ini.

"Syukurkamu dah insaf. Selama hari ini kamu tidak pernah meminta maaf bersunguh-sungguh. Kamu mungkin jadi nak derhaka kalau mak tak ampunkan dosa kamu yang satu ini. Umur mak dah 80 tahun. Selama 50 tahun mak memendam rasa. Dosa yang lain mak boleh ampunkan, tapi dosa yang satu ini mak rasa sungguh berat dan amat tersinggung. Mak terlalu sedih anak yang mak kandung sembilan bulan, anak yang mak kenyangkan perutnya dengan air susu mak ini sanggup
mengherdik mak dengan kata-kata 'órang tua bodoh. Tak ada otak."

Cerita lelaki itu, satu hari dia meminta ibunya membasuh sehelai seluar yang berjenama, dibeli hasil duit gaji pertamanya. Seluar itu terlalu kotor lalu si ibu merendamnya dengan peluntur. Mak gosok dan lipat.Beberapa hari kemudian dia mencari seluar itu untuk dipakai bekerja,malangnya seluar mahal itu didapati telah bersopak-sopak warnanya.
Lalu dia yang berdarah muda menjadi berang, mengherdik si ibu, "Hei, orang tua bodoh! Tak ada otak keer? Buta ker? Seluar nih mahal tau!!" Akhirnya dosa si anak diampunkan.

Daripada kedua-dua cerita ini dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa disebalik ungkapan 'tak ada apa-apa' dari mulut seorang ibu mungkin ada tersimpan 'apa-apa' yang sangat memilukan hati ibu, akibat tingkah laku atau tutur kata kita yang menyinggung hatinya. Jagalah hati ibu, dan sentiasa minta mereka doakan kesejahteraan hidup kita.
Sesungguhnya doa dari seorang ibu sangat makbul.

"Sesungguhnya Allah itu tidak suka kepada orang yang sombong dengan perbuatannya, sombong dengan perkataannya. " An-Nisa':36

************ ********* **

AMBIL IKTIBAR DAN PEDOMAN DARI CERITA DIATAS.... SESUNGGUHNYA SYURGA DI
BAWAH TELAPAK KAKI IBU.... RASA INSAF BILA MENGHAYATINYA .

.




Friday, November 20, 2009

KAWAL MARAH SIFAT TERPUJI





Dalam kehidupan seharian, pasti kita berhadapan dengan perkara-perkara yang membangkitkan kemarahan. Kita juga sering menghubung-kaitkan marah ini sebagai satu perkara yang negatif.

Ternyata Islam juga mencela sikap marah sebagaimana firman Allah: (Ingatlah dan kenangkanlah ihsan Tuhan kepada kamu) ketika orang-orang yang kafir itu menimbulkan perasaan sombong angkuh yang ada dalam hati mereka (terhadap kebenaran Islam) – perasaan sombong angkuh secara Jahiliah (yang menyebabkan kamu panas hati dan terharu), lalu Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada Rasul-Nya dan kepada orang-orang yang beriman (sehingga tercapailah perdamaian), serta meminta mereka tetap berpegang kepada kalimah takwa, sedang mereka (di sisi Allah) adalah orang-orang yang sangat berhak dengan kalimah takwa itu serta menjadi ahlinya. Dan (ingatlah), Allah adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (al-Fath: 26)

Lihatlah bagaimana Allah s.w.t. mencela keangkuhan golongan kafirun terhadap golongan yang beriman yang mana ia timbul akibat kemarahan mereka terhadap ajaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. yang telah menyerang institusi keagamaan, masyarakat dan sosial mereka.

Kebaculan

Sementara itu, Allah juga memuji sifat tenang dan tenteram yang telah dikurniakan kepada golongan mukminin. Ternyata menerusi ayat ini sifat marah dinilai secara negatif. Namun begitu adakah Islam ingin membasmi sifat marah secara total?

Sebelum itu mari kita lihat jenis-jenis manusia berkaitan dengan sifat marah :

• Golongan Pertama: Tafrith
Iaitu mereka yang langsung tidak memiliki sifat marah. Apa jua yang berlaku disekelilingnya maka dia langsung tidak menunjukkan perasaan marah. Manusia jenis ini sama sekali tidak memiliki sikap pembelaan terhadap kebenaran. Dia tidak terasa tersinggung apabila agamanya diinjak-injak oleh musuh-musuh Islam. Sedangkan Rasulullah s.a.w. yang terkenal dengan sikap tawaduk tetap mempertahankan maruah agama dengan menentang musuh-musuhnya sekiranya perlu.

Firman Allah: Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). (al-Fath: 29)

Golongan jenis ini juga apabila terjadi perlanggaran terhadap kehormatan diri mahupun ahli keluarganya maka dia akan menghadapinya dengan sikap yang penuh kebaculan dan terlalu merendah diri. Sedangkan Islam melihat perlunya sikap cemburu demi untuk melindungi kehormatan ahli keluarganya.

Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya dia (Sa’ad) adalah seorang yang kuat cemburunya dan saya adalah lebih kuat cemburunya (berbanding dengan Sa’ad), dan Allah adalah lebih cemburu lagi daripada saya (iaitu sekiranya Dia melihat hamba-Nya melakukan perbuatan maksiat). (Riwayat Muslim)
Jelas di sini sifat tafrith atau langsung kehilangan sifat marah adalah tercela di sisi syarak.

• Golongan kedua: Ifrath

Iaitu mereka yang tidak dapat mengawal perasaan marah lalu bersikap berlebih-lebihan sehingga hilang pengawalan akal yang waras terhadap dirinya.
Golongan seperti ini akan berteriak dengan suara yang kuat serta mengeluarkan kata-kata kasar lagi kesat. Ada kalanya sehingga menyebabkan terjadinya pukul-memukul ataupun amukan yang dahsyat sehingga terjadi pertumpahan darah.
Marah yang tidak dapat dikawal juga dapat membentuk perasaan dendam, benci dan dengki sehingga mendorongnya untuk melakukan pembalasan terhadap orang yang dimarahinya.

Disebabkan buruknya akibat sifat marah yang melulu ini maka Rasulullah s.a.w. amat menitikberatkan agar perasaan itu dikawal dengan baik. Apabila seorang sahabat meminta nasihat daripada Baginda s.a.w, lantas Baginda bersabda: Jangan marah. Kemudian sahabat tersebut mengulangi permintaannya untuk mendapatkan nasihat. Sekali lagi baginda menjawab: Jangan marah. (Sahih al-Bukhari, hadis no: 6116).

Allah juga memuji mereka yang dapat mengawal perasaan marah melalui firman-Nya dalam surah Ali-Imran: 133-134)

Di antara cara mengawal perasaan marah sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. adalah :

1. Mengucapkan Ta’awudz (A’udzu billahi minasy syaithoonir rajeem – Aku berlindung kepada Allah daripada syaitan yang terkutuk). Ini adalah kerana perasaan marah itu timbul dari hasutan syaitan.

2. Diam atau tidak berbicara.

3. Jika semasa timbul perasaan marah itu seseorang itu sedang berdiri maka hendaklah dia duduk. Jika tidak reda juga maka hendaklah dia baring.

4. Berwuduk kerana air wuduk itu dapat menenangkan jiwa yang sedang marah

• Golongan ketiga: I’tidal

Iaitu golongan yang bersikap sederhana di antara tafrith dan ifrath. Mereka tidak menghilangkan sikap marah secara total tetapi hanya akan marah dalam situasi yang bersesuaian. Akal juga masih menguasai dirinya dan mereka sentiasa mengikuti batasan-batasan yang telah ditetapkan oleh syarak.

Kehormatan

Kemarahan yang tergolong dalam kategori terpuji adalah kemarahan yang timbul hanya kerana menurut perintah Allah dan untuk membela agama Islam serta umatnya.
Oleh itu hendaklah kemarahan yang ada dalam jiwa seorang muslim itu bertindak untuk menolak gangguan orang lain terhadap kehormatan dirinya, keluarganya serta umat Islam keseluruhannya dan menghukum mereka yang ingkar kepada perintah Allah.

Firman Allah: Perangilah mereka, nescaya Allah akan menyeksa mereka dengan (perantaraan) tangan kamu, dan Allah akan menghinakan mereka serta menolong kamu menewaskan mereka, dan Dia akan memuaskan hati orang-orang yang beriman. Dan Dia juga akan menghapuskan kemarahan hati orang-orang yang beriman itu, dan Allah akan menerima taubat orang-orang yang dikehendaki-Nya; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (al-Taubah: 14-15)

Di antara sifat Rasulullah s.a.w. ialah Baginda tidak menunjukkan kemarahan dan melakukan pembalasan hanya kerana kepentingan peribadinya. Segala kemarahannya adalah kerana mempertahankan hukum-hukum Allah.

Saidatina Aisyah r.a. telah meriwayatkan bahawa: Dan tidaklah baginda membalas dengan hukuman untuk (membela) dirinya di dalam sesuatu sama sekali kecuali jika perkara-perkara yang diharamkan Allah dilanggar, maka baginda akan membalas dengan hukuman terhadap perkara itu kerana Allah. (Riwayat Bukhari)

Apakah yang dapat kita simpulkan tentang sifat marah ini? Sekiranya sifat marah itu hilang sama sekali dalam jiwa seseorang maka ia termasuk dalam perbuatan yang tercela dan menunjukkan ciri-ciri seorang insan yang lemah pegangan agamanya, penakut, lemah imannya dan kurang cintanya terhadap agama Allah.

Begitu juga sifat marah yang berlebih-lebihan tanpa batasan ia juga mengundang bahaya serta boleh menimbulkan suasana yang kacau-bilau. Oleh itu, sekalipun sifat marah itu perlu ada pada diri seseorang tetapi ia sentiasa diarahkan kepada perkara yang kena pada tempatnya. Dikawal oleh akal yang bijaksana dan batasan-batasan yang telah ditetapkan oleh syarak.

Inilah sikap pertengahan yang adil lagi terpuji malah ia merupakan ciri-ciri umat Nabi Muhammad s.a.w. iaitu umat yang bersikap penuh kesederhanaan dalam semua perkara. Firman Allah: Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil (pertengahan), supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. (al-Baqarah: 143)
Oleh itu sewajarnya kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mengamal sifat marah yang i’tidal ini.

-MOHD. YAAKUB MOHD. YUNUS ialah Penolong Naib Presiden di Bahagian Perbankan Perusahaan, Affin Bank Berhad.



Tazkirah

Blog.cekapkomputer.com

My Blog List

Sektor Pendidikan Islam, Jabatan pelajaran Perak

upikintautara - Home

Followers