Thursday, November 19, 2009

UPSR 2009

ALHAMDULILLAH....Keputusan UPSR 2009 telah menunjukkan peningkatan..Tahniah kepada pelajar-pelajar yang beroleh kejayaan cemerlang.Juga tak dilupakan, guru-guru yang telibat secara langsung mendidik merkea hingga mencapai kejayaan..


Tuesday, November 17, 2009

H.A.C. SKTI










Setelah penat lelah bertungkus lumus memerah otak mengulangkaji pelajaran dan berhempas pulas menjawab soalan-soalan peperiksaan,akhirnya segala USAHA yang dilimpahkan telah mendapat balasan yang SETIMPAL..Alhamdulillah...

Tampak terserlah KECERIAAN & KEPUASHATIAN pada wajah pernerima anugerah serta ibubapa masing-masing...pada H.A.C. SKTI yang telah berlangsung pada hari Sabtu bersamaan 14 NOVEMBER 2009..

Upacara dimulakan dengan bacaan doa diikuti dengan bacaan al-Quran serta terjemahannya.Disusuli dengan ucapan Tuan Hj Othman Ariff bin Ismail selaku Guru Besar SKTI dan diikuti oleh ucapan YDP PIBG,Encik Fadil. Majlis HAC kemudian dirasmikan oleh Tn.Hj. Ab. Razak bin Hassan selaku Penolong Pengarah BTP negeri Perak.

Kumpulan Kalam Jamaie telah mempersembahkan persembahan mereka sebaik sahaja selesai ucapan perasmian dilaksanakan.Diikuti oleh penyampaian sijil dan tropi kepada pelajar-pelajar cemerlang.

Persembahan Nasyid sekolah telah menyerikan lagi majlis ini sebelum anugerah cemerlang disampaikan kepada pelajar-pelajar Tahap 2.Lagu-lagu yang disampaikan oleh kumpulan nasyid ini amat MENYENTUH QALBU terutamanya ketika mereka menyampaikan lagu 'ANAK SOLEH' bilamana terdapat majoriti dalam kalangan ibubapa yang menitisikan airmata ketika mendengar dan menghayati lirik lagu serta suara lunak + mendayu penyanyi utama kumpulan nasyid iaitu adik Daniel..


Para jemputan dihidangkan dengan jamuan ringan ringan setelah acara tamat.

Monday, November 9, 2009

"MENDIDIK HATI"


Hati atau roh merupakan raja dalam ke¬rajaan diri. Justeru itu, hatilah yang harus menjadi sasaran pendidikan kita. Gagal mendidik dan membaiki hati bererti gagal mendidik dan baiki manusia. Hati mempunyai dua penasihat yakni akal dan nafsu. Jika akal menjadi penasihat, maka hati pun baik. Jika nafsu menjadi penasihat, maka raja dalam diri manusia itupun menjadi jahat.

Kelebihan

Anggota lahir hanya sebagai rakyat dalam kerajaan diri yang patuh pada perintah raja. Apabila hati jahat, jahatlah seluruh anggota badan. Sebaliknya jika hati baik, baiklah seluruh anggota badan.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Dalam tubuh anak Adam itu ada seketul daging, bila daging itu baik, baiklah seluruh anggota badan dan jika jahat, jahatlah seluruh anggota badan. Ketahuilah itulah hati."

Hati sebagai raja dalam kerajaan diri mempunyai kelebihan daripada semua ang¬gota lahir. Dia adalah raja yang luar biasa, yang sangat ditaati oleh rakyatnya. Dialah pentadbir manusia yang menja¬lankan sistem kehidupan yang sangat luas. Di dalam hati yang bersifat tersembunyi, pemimpinnya juga tersembunyi. Malaikat akan memimpin hati dengan sesuatu yang datang dari Allah. Syaitan pula akan memimpin hati dengan sesuatu yang datang dari Iblis. Walaupun hakikatnya semua perlakuan dari Allah jua tetapi kita sandarkan yang jahat kepada syaitan dan yang baik dari Allah, mesti tepat dan benar manakala yang datang dari syaitan ialah kekufuran dan tidak baik.

Hati sangat peka, tidak kira kepada yang positif atau negatif. Hati akan merasa bila datang cabaran. Yakni bila ada rangsangan dari luar misalnya, hati yang sensitif akan cepat tersinggung.

Kadangkala kerana kita tidak berhalus atau tidak ambil perhatian pada perjalanan hati maka kita rasa kita sudah baik dan sudah tenang. Tetapi sebaik sahaja datang cabaran atau rangsangan dari luar, barulah terasa yang sebenar. Misalnya, bila orang marah pada kita, bangkit rasa hendak marah balik. Ini menyedarkan kita bahawa kita ada sifat pemarah. Jika tiada rangsangan tadi, kita merasa hati kita sudah baik dan tiada sifat pemarah. Ini terbukti bahawa apabila timbulnya rangsangan dari luar membuat hati merasai sesuatu. Dari situ timbul kesedaran.

Walaupun hati manusia cuma satu tetapi oleh kerana rangsangan yang datang itu pelbagai, maka pelbagai jugalah rasa dan kesedaran. Misalnya bila mendapat satu kejayaan, hati akan menerima satu rangsangan lalu akan merasa sama ada bangga, riya', ujub atau ego dengan kejayaan itu ataupun rasa syukur dan malu kepada Allah. Pada waku merasa itulah hati yang sensitif akan merasa sedar. Sekiranya hati tidak sedar ia sudah berbuat baik, ini satu sifat terpuji kerana tidak akan berbangga dengan kebaikan itu. Tetapi jangan pula sampai hati tidak bersyukur kepada Allah atas keizinannya kita boleh buat kebaikan.Yang paling buruk ialah bila hati tidak sedar ia jahat. Hati tidak sedar, rangsangan yang datang membuatkan ia rasa bangga atau ego. Lebih berbahaya jika hati yang jahat disedari sebagai hati yang baik. Yang empunya hati tidak akan sedar kejahatannya sampai bila-bila dan tidak akan cuba buat perubahan dengan bertaubat. Bahkan akan terus berbuat jahat kerana merasakan dirinya dalam kebaikan.

Rasa hati terbahagi kepada dua. Kedua-duanya merupakan benih yang ditanam oleh Allah S.W.T. ke dalam hati manusia. Inilah fitrah semula jadi. Ia lahir bersama lahirnya manusia. Cuma sama ada ia akan subur atau terbantut, bergantung kepada usaha manusia itu sendiri. Misalnya di dalam satu kebun, benih jagung telah ditanam, terpulanglah kepada petani untuk menyiram, membaja dan menjaganya. Jika benih itu baik tetapi tidak dijaga, mungkin ia mati sebelum tumbuh ataupun ia terbantut. Begitu juga dengan hati. Fitrah baik manusia itu, jika tidak disuburkan dari awal, kemungkinan ia mati akhirnya.

Sebaliknya jika awal-awal telah disuburkan, ia akan berakar umbi di dalam hati hingga mudahlah hati itu menjadi baik. Jika sudah terlewat baru hendak disuburkan, agak sukar kerana ia umpama benih yang terbiar lama tanpa disirami, dibajai dan dijaga. Perasaan yang positif pada hati boleh dibantutkan jika sejak kecil seseorang itu tidak dididik, dibimbing dan diasuh. Maka ia akan terpaksa bersusah payah untuk menyuburkannya kembali. Sebaliknya jika benih yang positif (mahmudah) ini dijaga dan disuburkan sejak kecil maka ia akan subur dan tidak payah lagi bersusah payah bila dewasa. Jika perasaan negatif sejak kecil lagi susah disuburkan maka payah pula untuk ditebang bila sudah dewasa kerana pokoknya sudah teguh.

Begitulah juga sifat mazmumah (sifat keji) jika sudah disuburkan dalam hati sejak kecil dan setelah dewasa baru hendak dibuang maka usaha itu amat payah. Antara benih positif (mahmudah) ialah rasa kasih, penyayang, simpati, pemurah, pemalu, rendah diri, hormat, taat, redha dan sabar yang mana semua ini Allah tanam sebagai sifat positif di hati manusia.

Bantut

Benih negatif pula ialah rasa benci, pemarah, besar diri, bangga, dendam, hasad, bakhil, suka buat fitnah dan lain-lain. Jadi manusialah yang perlu berusaha untuk menyuburkan atau membantutkan yang positif dan negatif itu. Benih kejahatan adalah umpama harimau tidur dalam diri manusia sama ada dapat mengawal atau mematikannya . Bila benih mahmudah disuburkan maka benih mazmumah akan bantut atau mati. Jika benih mahmudah yang kita suburkan maka malaikat akan turut membantu menyuburkannya. Maka pada ketika itu bersihlah hati kita. Sebaliknya, jika benih negatif yang kita suburkan maka syaitan akan membantu mengotorkan hati kita maka kotorlah ia.



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com



Friday, November 6, 2009

SAMBUTAN HARI KANAK-KANAK

PKSR 2 telah berakhir pada Jumaat lalu..Alhamdulillah..Leganyer!!!

Hari ini pula,sekolah kami mengadakan sambutan Hari Kanak-Kanak.Oleh kerana cuaca mendung saja dan berkemungkinan akan hujan pada pagi ini,perhimpunan pagi bersempena sambutan hari Kanak-Kanak diadakan dalam dewan sekolah.

Acara dimulai dengan bacaan DOA oleh Ustaz Zannuri dan diikuti ucapan HARI KANAK-KANAK oleh Ketua Pelajar,adik Nurul Athifah bt Mad Norizan. Tuan guru besar SKTI,Tuan Hj Othman Ariff bin Ismail pula tampil dengan ucapan beliau dan diikuti oleh YDP PIBG SKTI,Encik Fadhil.

Upacara penyampaian cenderamata kepada pengawas-pengawas sekolah,pengawas-pengawas ICT dan PSS serta ketua-ketua dan penolong-penolong ketua kelas telah disempurnakan oleh guru besar SKTI,Tuan Haji Othman Ariff bin Ismail dan PK 1,Puan Noor Azian bt Zaim.

Manakala PK HEM,Puan Maison bt Mohd Rafie pula telah menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan sempena Hari Perkhemahan Kokurikulum Tahun 6.Piala Kelas Terbersih telah disampaikan oleh PK Kokurikulum,Encik Mohd Kahar bin Soam. Pelajar-pelajar yang menyambut hari ulangtahun kelahiran pada hari ini juga telah dihadiahi kek HARI LAHIR oleh pihak sekolah dan disampaikan oleh Encik Mohd Kahar bin Soam selaku PK Kokurikulum SKTI.

Sebaik sahaja upacara penyampaian kek tamat,murid-murid beratur untuk balik ke kelas masing-masing untuk menjamah juadah yang disediakan oleh guru kelas masing-masing.

Meriah sungguh sambutan HARI KANAK-KANAK tahun ini.PIBG telah bermurah hati untuk SPONSOR ais kerim kon kepada setiap murid dan guru.Alhamdulillah.



Wednesday, November 4, 2009

Berani Mengaku Kesalahan - Puncak Tertinggi Taubat






Berdasarkan sedikit pengalaman hidup, sebenarnya tidak mudah bagi kebanyakan orang untuk mengaku kesalahan yang dilakukan. Sama ada kesalahan itu dengan manusia atau kesalahan itu dengan Allah swt. Sebab itu antara akhlak terpuji yang diajar oleh seorang guru kepada muridnya atau seorang bapa terhadap anaknya ialah berani mengakui kesalahan.
Berani mengaku kesalahan mempunyai kedudukan yang mulia dalam Islam. Aisyah R.A. meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda:

“Sesungguhnya apabila seorang hamba mengaku dengan dosanya kemudian bertaubat, pasti Allah menerima taubatnya”. (hadis riwayat Bukhori, Muslim dan Ahmad).

Bahkan dalam hadis yg diriwayatkan oleh Imam Bukhari mengenai “penghulu istighfar” terdapat lafaz pengakuan hamba kepada Allah swt mengenai dosa yang dilakukan dan kemudian barulah diikuti dengan memohon keampunan daripada Allah swt.

Oleh kerana mengakui kesalahan itu sukar, marilah kita mula berlatih mengakui kesalahan kita samada kesalahan dengan makhluk atau kesalahan dengan Allah swt. jika kesalahan dgn makhluk, ada dua keadaan:

1) Kesalahan berhubung dengan darah seperti mencederakan, atau berhubung denga harta seperti mencuri. Ia perlu diselesaikan dengan makhluk tersebut seperti memohon kemaafan dan memulangkan harta yang dicuri dengan cara yang paling bijaksana agar tidak menimbulkan kerosakan baru.

2) Kesalahan seperti mengumpat dan fitnah. Beberapa ulama seperti Imam Syafi’ie mensyaratkan supaya meminta maaf daripada orang yang diumpat atau difitnah. Namun Ibnu Qayyim mentarjih pandangan yang mengatakan tidak perlu minta maaf secara terus kepada orang yang diumpat atau difitnah kerana ditakuti akan menimbulkan kerosakan baru. (seperti putusnya silaturrahim).

Namun, si “pelaku kesalahan” perlu memperbaiki umpatan atau fitnah yang dilakukan dengan menceritakan kebaikan orang tersebut bagi menutup umpatan/fitnah yang telah dibuat, memohon istighfar untuk orang tersebut pada kadar dosa mengumpat/fitnah yang dilakukan dan melakukan kebaikan bagi pihak orang yg diumpat/fitnah, juga sebagai jalan untuk membersihkan kesalahannya. Selepas itu barulah disertai dengan taubat kepada Allah terhadap kesalahannya mengumpat/fitnah terhadap orang tersebut.

Dengan demikian hubungan si pelaku kesalahan dengan orang yg diumpat/fitnah kekal baik dan ini menepati maqasid syarak.

Penulis sendiri cenderung kepada pandangan Ibnu Qayyim dalam masalah ini.

Wallahu A’lam. Moga kita semua berjaya. Ameen.


Oleh: Ustaz Ahmad Zainal Abidin
ahmad@mmu.edu.my

Dari blog ISMA Pulau Pinang





Tazkirah

Blog.cekapkomputer.com

My Blog List

Sektor Pendidikan Islam, Jabatan pelajaran Perak

upikintautara - Home

Followers